Cinta Tak Kenal Siapa..Part IV
“Sayang, kenapa ni?” Suara lunak itu buat aku kembali menitiskan airmata.
“Iskandar, terima kasih.” Hanya itu yang mampu aku ucapkan lantas tubuhnya kudakap dan tangannya ku cium. Tanpa menunggu patah kata dari Iskandar aku berlari keluar dengan linangan airmata meninggalkan Iskandar dengan seribu tanda tanya.
Aku mengambil keputusan untuk lari dari hidup Iskandar. Semua panggilan dan SMS dari Iskandar tidak aku pedulikan dengan harapan supaya Iskandar akan berputus asa dan melupakan aku. Kini sudah hampir sebulan aku menjalani rutin hidupku tanpa Iskandar. Namun Iskandar belum berputus asa. Adakalanya aku nampak dia menunggu di depan pintu masuk tempat kerjaku. Namun jika Iskandar di depan aku akan keluar ikut belakang. Malu untuk bersemuka dengannya. Biarlah jika orang ingin mengata aku tak mengenang budi namun untuk menunaikan impian Iskandar aku tak sanggup. Siapalah aku hendak menjadi suri dalam hidupnya. Aku tak layak diberi peluang itu kerana aku bukan gadis suci. Hari berganti bulan. Hampir setengah tahun aku tidak lagi menerima khabar dari Iskandar. Mungkin dia sudah melupakan aku. Namun dihatiku tidak sedikit pun merasa gembira. Aku menangis lagi. Itulah yang akan berlaku bila hati mula rindu. Mila hanya melawan perasaannya sendiri selama ini. Perilakunya seperti orang membenci namun hatinya Tuhan saja yang tahu betapa pedihnya tatkala terpaksa mengambil keputusan melupakan Iskandar.
Hari minggu yang sunyi, entah mengapa aku menurut langkah kaki menuju kerumah yang selama ini tidak dikunjunginya. Walau hati terasa takut namun langkahnya tetap kesitu. ‘Aku sekadar ingin menjenguknya. Sabarlah wahai hati.’ Aku memujuk hati sendiri. Ku percepatkan langkah sambil memandang kiri dan kanan bimbang kalau-kalau Iskandar ada disitu. Setibanya di hadapan rumah Iskandar, aku terus membuka pintu dengan kunci yang masih ada dalam simpananku. Perlahan-lahan aku melangkah masuk ke rumah itu. Sunyi. Mungkin Iskandar di tepat kerja. Memikirkan itu aku kembali berlagak seperti biasa kerana yakin Iskandar tiada. Dilihatnya sekeliling. Bersepah. Semuanya sudah tak teratur. ‘Apa yang dah jadi ni?’ Bisik hati kecilku. Aku mula merasa bimbang. Baikkah keadaan Iskandar?. Aku mengemas bahan yang menghalang laluanku. Aku ingin menuju kebilik Iskandar. Terperanjat aku bila melihat sekujur tubuh yang lesu terbaring diatas katil itu. YA ALLAH, Iskandar!. Aku hampir tidak mengenalinya kerana jambangnya yang sudah memenuhi muka dan badannya yang kurus kering. Bicara yang kudengar hanyalah Mila!. Itulah yang keluar dari mulut Iskandar.
YA ALLAH apa yang aku dah buat. Aku sangka selama ini Iskandar sudah menemui cinta lain namun sangkaanku meleset. Dia lebih teruk dari dulu. Aku menangis teresak-esak dan kerana tangisan itu, Iskandar terjaga dan mencari suara itu.
“Mila sayang, Mila dah balik? Mila pergi mana? Saya rindukan Mila. Ahhh.. itu bukan Mila. Mila tak mungkin kembali dia bencikan aku. Mila kenapa pergi setelah harapan yang engkau beri? Kenapa semua perempuan pergi setelah bahagia dihati dicurahkan?” Iskandar membebel dengan suara yang sayup dan sedih. Aku nampak titisan airmatanya. Aku masih berteleku dibirai katil bersama linangan airmata. Berdosa aku membiarkan Iskandar menderita.
“Is, Mila datang ni. Mila janji Mila takkan tinggalkan Is. Mila cintakan Is. Maafkan Mila kerana tinggalkan Is tanpa sebarang penjelasan.” Aku bersuara bila Is sudah membisu. Kudakap tubuhnya yang tidak bermaya. ‘Maafkan Mila, Is.’
Comments