Saat hati disakiti...

Banyak yang ingin saya luahkan pada awak, tapi awak tiada disini untuk mendengar tiap bait cerita dan tekanan saya. Awak tiada saat saya perlukan seseorang untuk menenangkan hati saya. Saat air mata saya tak segan silu mengalir tanpa pengetahuan awak. Jadi saya pendamkan segalanya. Saya tahan air mata itu dari terus mengalir. Saya dah kuburkannya hingga saya terlupa cerita yang mana satu nak saya luahkan dahulu, hingga saya akhirnya kelu. Saya terputus bicara, kata-kata tak lagi terucap dibibir dan senyuman juga tak mampu diukir untuk awak. Saya tak mahu menipu diri sendiri dan awak yang hati saya terluka. Hati saya terguris dengan sikap awak. Adakala saya rasa seperti tidak dihargai. Saya cuba menenangkan diri saya dan menafikan semua itu. Tapi oleh kerana saya tiada jawapan, maka perasaan itu tetap hadir dan singgah bertakhta dalam sanubari saya.

Bukanlah saya mengharapkan balasan atas apa yang pernah saya lakukan untuk awak, kerana awak juga banyak membuat saya rasa terhutang budi, namun mungkin pengucapan kata-kata awak suatu ketika dulu yang sebenarnya mungkin menyebabkan saya mengharapkan sesuatu. Apa kata-kata yang diucapkan oleh awak??tak pe, biar saya simpan sendiri. Hanya saya yang tahu dan biarlah hanya hati saya yang berbicara mengenainya. Jauh disudut hati perasaan itu sangat membuak-buak sehingga saya rasa saya perlu meluahkannya pada awak. Namun, sekali lagi awak tiada. Dan disaat hati saya mula tenang setelah ditenangkan diri sendiri, suatu perkara lagi terjadi. Adakah awak sedar ia terjadi?? Adakah saya tak layak menerima sepertinya??. Maka senyuman ketenangan itu saya simpan kembali. Kesenyapan saya adalah jawapan kepada hati saya. Akhirnya sendu sedan dan getaran dalam bacaan Yaasin saya malam itu merungkai hati saya. Saya tak mampu lagi menahan rasa sakit hati ini. Saya cuba bersikap positif namun hati saya menafikannya. Saya cuba mencari dosa apa yang telah saya lakukan sehingga saya diduga sebegini rupa. Saya belum menemuinya. Hati saya makin rapuh kini. Itu yang pasti.

Jika kemaafan adalah jalan terbaik bagi merungkai kesakitan hati ini, saya redha. Saya cuba memaafkan awak, kerana awak mungkin menganggap bahawa saya bukanlah seorang yang mengambil berat tentang hal-hal sebegini, maka awak terlepas pandang dan menganggap saya sedikit pun tidak terasa, namun sebenarnya ia telah sangat mengguris hati kecil saya.

Apa yang ingin saya katakan disini, setiap bait kata awak dari dulu hingga kini, tak pernah saya lupakan. Setiap persoalan kemusykilan saya dan jawapannya dari awak tak pernah juga terpadam dari ingatan saya sampai bila-bila. Itu tersangat pasti. Biar kematian yang memadamkan segala memori. Adakalanya saya berharap yang saya mampu memadam memori itu supaya saya tak lagi mengharap namun itu tak kan pernah terjadi selagi diri ini masih bernyawa.

Ada satu perkara lagi yang sangat saya harapkan dari awak, dan saya hanya menunggu masa ia berlaku. Dan sekiranya apa yang saya harapkan itu tak berlaku, saya dengan redha hati berjanji yang saya tak akan mengharapkan apa-apa lagi dari awak selamanya. Kerana saya tak mampu lagi menahan rasa hati ini, dan tak mahu lagi membiarkan hati saya terguris. Calarnya dalam hati ini hanya menanti masa ia disembuhkan namun saya tahu itu tidak pernah akan terjadi. Jadi saya hanya menanti masa ia dikuburkan bersama hembusan nafas saya yang terakhir.

Akhir kata, hanya perkataan maaf yang mampu saya ungkapkan dan mengharapkan kata maaf ini mampu meredakan perasaan sakit ini selamanya..

Maafkan saya untuk kesekian kali...




Comments

Popular Posts