Salam 2026

 Selamat Tahun Baru 2026. Mungkin permulaan yang sama untuk aku dan mereka yang lain. Namun terlalu banyak perkara yang aku fikirkan kali ini. Tidak terasa menyambut dengan beria, walaupun aku memang tak pernah kemana-mana untuk menyambut tahun baru. Tetapi ada suatu perasaan lain dalam diri, perasaan sedih yang masih bersarang kerana permergian along dan perasaan untuk menghadapi tanggal satu tahun pemergian emak. Semuanya aku pendam dan hadap sendiri. 

Tanggal 28hb Disember 2025 aku pulang ke rumah dengan rasa sakit gigi yang sedikit. Dalam hati aku, adakah aku terpaksa hadap kesakitan ini lagi? Ya, benar. Hari berlalu akhirnya aku gagahkan juga ke klinik biasa dan ubat tahan sakit dan anti-radang diberikan. Di hari terakhir tahun 2025, berkesempatan juga pergi ke 'office' dan berjumpa dengan kawan-kawan dan mereka menyambut 'birthday' aku. Alhamdulillah dan terima kasih kawan-kawanku. Kebetulan, ubat yang aku makan juga sangat berkesan hari itu sehingga aku terlupa yang aku sedang sakit gigi. Maka berakhirlah hari itu dan tahun baru menjelang.

Permulaan tahun baru 2026 aku hadap dengan kesakitan gigi yang berpanjangan. Aku ke klinik gig pada hujung minggu 4hb Januari 2026 dan doktor juga hanya memberikan ubat tahan sakit dan surut bengkak. Katanya antibiotik tidak boleh diberikan kerana telah pernah diberikan dulu untuk gigi yang sama. Dushhhh.. kena tahan sakit lagi la ni, ujar aku sendiri. Tekanan darah aku masih tinggi, jadi mustahil untuk mencabut gigi tersebut. Maka aku pun bertahan lagi. Dua hari berlalu, tanggal 6hb Januari 2026, aku ke klinik kesihatan Kelana Jaya kerana ada temujanji untuk tekanan darah dan diabetis aku. Setelah selesai, aku ke klinik gigi di tingkat satu dan mendaftar sebagai kes kecemasan kerana terlalu sakit. Aku menunggu sedikit lama kerana mereka mengutamakan pesakit yang datang dengan temujanji. Akhirnya nama aku dipanggil dan aku diperiksa dibilik pergigian 4. 

Aku diperiksa dan diberi penerangan dan doktor bertanya 'detail' tentang keadaan gigi aku. Sekali lagi doktor hanya boleh memberikan ubat tahan sakit, katanya tak ada 'infection' untuk aku diberikan antibiotik. Aku pasrah. Namun mereka memberikan temujanji secara manual untuk aku cabut gigi pada 16hb Januari 2026. Alhamdulillah, aku berdoa semoga hari itu aku dapat cabut gigi dan tekanan darah aku cantik untuk ia berlaku. Aamiinn. Selepas pulang aku mula mengambil ubat baru yang diberikan doktor. Aku perasan bawah bibir aku seperti bengkak sedikit setelah aku mengambil ubat itu namun tidak lah aku berfikir yang bukan-bukan dan terus mengambil ubat yang sama pada malam harinya. Kesakitan makin terasa bila malam menjelma. Aku berjalan kehulu kehilir di dalam rumah aku, duduk tak senang, berdiri pun tak senang terlalu sakit dan terpaksa menunggu beberapa jam lagi untuk aku ambil ubat tahan sakit. Akhirnya setelah 3 jam, aku menelan 2 biji Actifast dan tak lama selepas itu barulah aku mampu untuk tidur.

Keesokan harinya, bengkak dibawah bibir aku semakin terasa dan besar, aku mengambil keputusan untuk menghubungi pihak klinik dan bertanya. Ya, rupa-rupanya aku mengalami alahan keatas ubat yang diberikan, maka terpaksalah aku berhenti dari mengambil ubat itu dan hanya mengambil ubat tahan sakit biasa. Mereka sarankan aku mencari ubat alahan di farmasi. Maka bermulalah hari itu dengan penambahan ubat alahan untuk aku makan. Hari itu berlalu seperti biasa, mujur juga projek aku sedang dalam 'winter sprint' maka hanya perlu kerja sendiri. Malam menjelang dan kesakitan makin kuat. Entah kenapa kali ini lebih kuat dari semalam. Entah dimana silapnya sehingga aku rasa aku dah tak mampu menahan. Sekali lagi aku mundar mandir didalam rumahku. Ada waktu aku duduk dikatil sambil menggoyang-goyangkan kaki dengan harapan sakit itu tidak terasa. Masih juga sakit yang teramat. Masih ada 2 jam sebelum aku boleh mengambil ubat tahan sakit lagi. Aku capai telefon dan aku 'google', doa sakit gigi. Aku mula membaca doa yang aku jumpa dan arahan cara berdoa. Aku berdoa dan berdoa. 

Dari duduk aku kini berdiri dan mundar-mandir semula, entah kenapa kali ini fikiran aku mula bercelaru. Aku mula berfikir, alangkah indahnya jika ada seseorang dikala ini untuk aku dakap dan mengadu kesakitan ini. Aku mula rindu, pada mak. Aku perlukan doa mak sekarang untuk aku hadap sakit ini. Akhirnya, dalam kesesakan dada, airmata aku jatuh dan aku menangis semahunya seperti anak kecil yang kehilangan permainan. Aku menangis dan menangis. Hanya yang keluar dari bibir aku waktu itu adalah ALLAH, ALLAH..ALLAH. aku berdosa YA ALLAH, berikanlah kesembuhan atas sakit ini YA ALLAH, sesungguhnya aku tak tahan sakit YA ALLAH. Dan Air mata masih laju mengalir. Aku benar-benar lemah dikala ini. Aku hanya mampu berserah. Akhirnya aku dapat mengambil ubat semula dan aku dah mula merasa mengantuk. Aku pasanag alunan zikir terapi di telefon ku dan aku mula dapat berehat tatkala ubat mula memberi kesan. Sambil di dalam hati aku masih berdoa dan berzikir sama. Akhirnya aku terlelap walau sesekali aku terjaga, namun masih mampu untuk tidur semula dan sakit telah kurang. Malam pun berlalu.

Keesokan paginya, aku bangun seperti biasa, menunaikan solat subuh dan kembali tidur selepas itu. Penat menahan sakit semalam masih bersisa. Hampir pukul 10 pagi dan akhirnya aku bangun kembali dengan pemikiran aku harus mengambil ubat rutinku dan mungkin ubat tahan sakit lagi. Aku bangun dan aku perasan tiada kesakitan ketara digigiku. Dalam fikiranku, mungkin kesan actifast semalam masih ada, maka aku tak terasa sakit itu. Aku akan ambil semula ubat tahan sakit andai sakit menjelma lagi. Satu jam, dua jam, dan setelah beberapa jam berlalu dan hampir ke petang, tiada kesakitan ketara yang aku rasai. Aku mulai berfikir sepatutnye kesan ubat dah takda ni. YA ALLAH, Alhamdulillah YA ALLAH, rupa-rupanya sakit itu dah pun berkurangan. Aku cuba menyentuh bahagian gigi yang sakit. Ya betul, ia tidak sesakit semalam dan hari-hari sebelumnya. ALLAHUAKBAR!! Benarlah ALLAH itu maha memberi sakit dan memberi kesembuhan. 2 minggu aku hadap sakit ini, dan tiba-tiba ALLAH kurangkan dan sembuhkan ia sekelip mata. Sungguh aku bersyukur. Untuk hari itu aku tidak mengambil ubat tahan sakit cuma ubat rutinku dan ubat alahan kerana bengkak masih belum surut. YA ALLAH terima kasih YA ALLAH. Benarlah jika kita meletakkan kebergantungan kepada ALLAH nescaya ALLAH akan memberi rahmat dan kasihNYA. Alhamdulillah. Maka hari itu dan esoknya aku hanya mengambil ubat harianku sahaja tapi masih juga berjaga-jaga2 agar tidaklah sakit itu datang kembali kerana kecuaianku. Hanya menunggu masa je ni untuk cabut gigi dan semoga ALLAH izinkan ia berlaku. AAmiin. 


Comments

Popular Posts